Ikan Lumba-Lumba Kuala Sepetang |
Pada pandangan mata kasar, perairan Kuala Sepetang di Perak yang menghadap ke Selat
Melaka tiada bezanya dengan kuala sungai lain yang ada di negara ini.
Panorama
perkampungan nelayan berlatarbelakangkan hutan paya bakau yang sangat luas ini
memang cukup indah untuk dinikmati, apatah lagi apabila disimbah sinaran merah
matahari di ufuk barat.
Namun,
di sebalik kekayaan alam yang dimilikinya, Kuala Sepetang turut mempunyai
keunikan tersendiri kerana ia sering menjadi tumpuan ikan dolfin atau ikan
lumba-lumba.
Kehadiran
mamalia yang boleh hidup di laut dan sungai ini secara tidak langsung
menjadikan Kuala Sepetang sebagai lokasi ekopelancongan yang menarik untuk
dilawati.
"Ikan
dolfin memang kerap dijumpai di sini. Ia suka mengekori bot nelayan yang pulang
dari laut menuju ke kuala.
"Ikan-ikan
ini tidak mengganggu kami, malah kami menganggapnya sebagai rakan hingga ada
yang memberi makan kepada dolfin yang menghampiri bot," ujar nelayan
udang, Mohd. Adam Hassan, 40.
Beliau
yang sudah 30 tahun turun ke laut memberitahu sering terserempak dengan ikan
dolfin sejak berusia 10 tahun lagi.
"Dolfin
memang ada di kawasan ini, terutamanya di Kuala Sepetang dan Kuala Sanggar.
"Ia
biasanya datang secara berkumpulan, namun pernah juga saya jumpa hanya seekor
ikan dolfin yang berani mendekati bot saya," katanya.
Gemar
memakan ikan duri, mamalia yang aktif dan gemar bersosial ini sangat sukakan
belahan air dan buih-buih putih yang terhasil setiap kali bot melalui kuala.
"Biasanya
ikan ini akan ekori bot dari jauh. Apabila ia merasakan persekitaran tersebut
selamat, baru ia menimbulkan badannya di permukaan air sedikit demi sedikit.
Sekumpulan Ikan Lumba-Lumba Kuala Sepetang |
"Malah,
kalau kita tepuk tangan dan bersorak, ia akan melompat ke atas. Kalau bernasib
baik, dolfin akan senyum pada kita," katanya yang belum pernah mendengar
ada dolfin yang dijumpai mati di Kuala Sepetang.
Menurut
pemandu pelancong, Khairul Salleh Ahmad, 40-an, dia pernah terserempak dengan
sekumpulan 10 ekor dolfin tidak lama dahulu.
"Dolfin
memang sering bermain di kawasan ini, tetapi untuk berjumpa dengannya, itu
bergantung kepada nasib juga.
"Ada
masanya memang mudah untuk kita nampak ikan ini, tapi pernah juga pelancong
pulang kehampaan kerana kelibat dolfin langsung tidak kelihatan walaupun sudah
berjam-jam bot menyusuri kuala," katanya yang juga merupakan individu
bertanggungjawab memperkenalkan dolfin Kuala Sepetang sebagai produk
pelancongan melalui laman blognya, fireflyzone.blogspot.com.
Baru-baru
ini, Jurnal berkesempatan menjejaki dolfin di Kuala Sepetang bersama
bantuan Khairul dan Adam.
Bermula
pada pukul 4 petang, kami menyusuri Kuala Sepetang menghilir ke Selat Melaka
yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dengan menaiki bot.
Mencari
kelibat dolfin di dalam hujan bukanlah perkara mudah. Setelah sejam meninjau,
pencarian kami masih belum berhasil.
Adam
mengesyorkan kami bergerak ke Kuala Sanggar kerana dia sering melihat dolfin di
situ.
Kira-kira
25 minit mencari, kami akhirnya tersenyum melihat dari jauh sirip dan muncung
dolfin di permukaan air.
Rasa
ingin tahu menyebabkan kami nekad mendekati kumpulan empat ekor dolfin ini.
Ketika itu hati tidak putus berdoa supaya kehadiran kami tidak menakutkan
keluarga mamalia ini.
Main sorok-sorok
Dengan
masa yang agak terhad, jurufoto Fauzi Baharudin bergelut untuk mengambil gambar
dolfin yang tangkas melompat ke udara sebelum hilang di balik air keruh.
Seolah-olah
bermain sorok-sorok, ikan dolfin ini akan tenggelam di tempat berbeza untuk
menarik perhatian kami sebelum terus hilang, dipercayai untuk kembali semula ke
laut.
Menyifatkan
dolfin berpotensi menjadi produk ekopelancongan berjaya di Kuala Sepetang yang
juga popular dengan penghasilan kayu arang dan kelip-kelip di Kampung Dew,
Khairul sering mendapat reaksi positif daripada pelancong.
"Mereka
sangat menghargai keindahan alam di sini dan mengharapkan ia mampu
dipertahankan pada masa akan datang," katanya yang sudah mengendalikan
ribuan pelancong yang datang untuk melihat dolfin di Kuala Sepetang.
Sementara
itu, pakar Biologi Marin, Dr. Louisa Ponnampalam dari Institut Sains Lautan dan
Bumi, Universiti Malaya berpendapat jika ingin menggalakkan dolfin sebagai
tarikan, penting untuk pengendali pelancongan dan orang awam mempunyai
pengetahuan mencukupi mengenai ikan itu.
"Ia
adalah satu keperluan kerana jika inisiatif ekopelancongan tidak diuruskan
dengan baik, ia boleh menjadi penyebab dolfin yang ada itu berhijrah ke tempat
lain," katanya.
Tambah
Louisa, masyarakat sering menganggap ikan jenis ini mudah mesra namun
realitinya ia termasuk dalam golongan haiwan pemangsa teratas dalam rantaian
haiwan laut.
"Apabila
ada dolfin, sudah tentu terdapat banyak hidupan lain seperti ikan dan sotong
yang menjadi makanannya di situ.
"Justeru,
pemuliharaan optimum ekosistem di sini sangat penting bagi memastikan mamalia
ini terus ada di sini," ujarnya.
Jelasnya,
cara terbaik untuk meninjau ikan dolfin ialah dengan menggunakan bot kecil yang
lebih senyap enjinnya.
Mengulas
perkara sama, Ketua Komunikasi Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS), Andrew
Sebastian mengharapkan lebih banyak kajian ke atas tingkah laku dolfin
dilakukan supaya orang ramai boleh dididik mengenai cara untuk berdepan dengan
mamalia ini.
"Pendedahan
ini perlu supaya ia tidak mendatangkan persekitaran bahaya kepada ikan dolfin.
"Ikan
jenis ini adalah makhluk yang pandai bergaul namun keramahannya itu tidak boleh
dijadikan kesempatan yang boleh mengundang risiko," kata Andrew.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3IMKDBeoq
No comments:
Post a Comment